X-Gig tarik peminat muzik tempatan
Dihantar Oleh XBUZZ
Publish Date : 16-Jul-2010
Mantap dan menghiburkan! Itulah pendapat pertama yang terdetik di fikiran apabila menghadiri X-Gig XFM yang berlangsung di Sunway Pyramid, Ahad lalu.
Acara yang diadakan bersempena Astro Sokker Safari itu nyata mendapat sambutan menggalakkan daripada kira-kira 500 orang yang berkunjung ke X-Gig terakhir XFM bersama pihak Astro bagi tahun ini.
Kebanyakan pengunjung yang hadir tidak sabar menyaksikan persembahan empat kumpulan ‘indie’ popular iaitu Azlan & The Typewritter, Awan Band, Pop Shuvit dan The Times.Cuaca yang baik pada petang itu seakan memberi laluan kepada pengunjung untuk menikmati persembahan daripada mereka.
Tepat jam 5.00 petang, Azlan, Ku, Baki, dan Daud daripada Kumpulan Azlan and The Typewritters memulakan persembahan X-Gig dengan menyampaikan rangkaian lagu popular mereka.
Peminat mula memenuhi pentas bagi menyaksikan persembahan kumpulan itu yang muncul dengan beberapa lagu. Antara lagu yang disampaikan adalah Kelibat Si Penyair dan lagu wajib ‘mereka’ iaitu Laguku Untukmu.
Lan yang memakai t-shirt hitam dan berkaca mata hitam tidak menghampakan ramai peminat yang hadir dengan persembahan yang menarik dan mantap!
Selesai persembahan Azlan & The Typewritter, kempat-empat penyampai XFM iaitu Shac, Ira, Nana dan Shaz mengemukakan beberapa soalan kepada peminat yang hadir sementara menunggu ahli kumpulan Awan Band ‘set-up’peralatan muzik masing-masing.
Peminat terpaksa melakukan beberapa aksi lucu dan menjawab beberapa soalan sukar (ye ke susah?) bagi membolehkan mereka mendapat hadiah berupa baju-t tajaan Adidas.
Syabas buat peminat kerana mereka memang cukup sporting melayan permintaan yang diajukan barisan juruhebah XFM! Kata support...
Cuaca yang semakin redup pada petang itu mengiringi persembahan yang dilakukan kumpulan yang sedang meningkat naik, Awan Band.
Kumpulan yang di anggotai Faris, Ully, Boboy, Hassan dan Ijan menyampaikan lima lagu yang dipetik daripada EP mereka. Antara lagu yang dipersembahkan adalah Helah Maya dan single terbaru mereka ‘Dramatik’
Persembahan yang diberikan oleh band ini cukup bertenaga dan ternyata peminat merasai ‘chemistry’ permainan antara dua gitaris mereka iaitu Ully dan Boboy.
“Terima kasih saya ucapkan kepada XFM kerana memberi sokongan terhadap lagu dan band indie tempatan,”kata penyanyi Awan Band, Faris sebelum mengakhiri persembahan.
Gegaran X-Gig XFM kian terasa apabila Pop Shuvit memulakan persembahan. Kehadiran lima jejaka berbilang bangsa ini amat dinanti-nantikan oleh peminat yang hadir. Kelibat penyanyi Pop Shuvit, Moots, JD, AJ, Rudy dan Uno mengundang jeritan semangat daripada para penyokong bunyi baru muzik Malaysia!
Mereka memulakan persembahan dengan lagu wajib atau anthem song ‘Old Skool Rocka’ di samping dua lagi lagu berbahasa Malaysia iaitu Sizuka dan Marabahaya.
Peminat begitu teruja apabila lagu Sizuka dan Marabahaya di dendangkan dan mereka turut tidak ketinggalan untuk menyanyi lagu tersebut bersama Pop Shuvit.
Moots yang tampil dengan pakaian serba biru bersemangat dalam menyampaikan lagu popular mereka sambil turut diiringi nyanyian latar oleh JD, Uno dan AJ.
Band kesukaan ramai, The Times muncul di kala waktu petang hampir menuju ke penghujungnya.
Gabungan line-up lama dan baru seperti Naza, Mono, Zul dan Anwar cukup mantap menyampaikan beberapa lagu hits termasuk ‘Tunjuk Perasaan’, ‘Khayal Khayalan’ dan ‘Spektakular’.
Pesona retro cukup terasa dalam persembahan kumpulan ini dan bilangan penonton semakin bertambah walaupun terdapat sedikit kesilapan teknikal ketika persembahan sedang berlangsung.
Tepat jam 7.00 malam, persembahan daripada The Times berakhir. Ternyata X-Gig XFM pada kali ini memberi kepuasan kepada setiap pengunjung yang hadir.
Apa yang pasti, setiap peminat XFM pasti tidak sabar menantikan kehadiran X-Gig XFM seterusnya. Harap-harap ada lagi kan? :)
Meskipun X-Gig XFM sudah melabuhkan tirai penutupnya, aktiviti-aktiviti sempena Astro Sokker Safari di sekitar tapak konsert di Orange Atrium, Sunway Pyramid berterusan sehingga tengah malam.
Peminat bukan sekadar terhibur dengan persembahan yang dilakukan oleh band-band indie negara malah turut berkesempatan berkunjung ke beberapa gerai yang terdapat di sana.
Selain gerai pameran, acara itu turut diserikan dengan beberapa acara lain seperti perlawanan futsal, pertunjukan lagak ngeri, sesi menonton perlawanan akhir piala dunia dan sebagainya – by Rizal Ishaq***
Dikomen Oleh ZUL:
Dihantar pada 29-Jul-2010, 1:18:00 PM
Hehehe tAhniaH
| 1 of 1 :[1] |
Dilihat:





